Kisah Longuyon merupakan sebuah kisah yang diceritakan secara turun- temurun dari suatu generasi ke generasi lain khususnya di kampung Kiau sehingga hari ini. Bagaimana pun, bagi generasi muda masa kini cerita lagenda ini semakin pudar dan tidak diendahkan lagi. Bahkan kebanyakan generasi tua yang hidup pada zaman ini di kampung ini sendiri tidak dapat menguasai sepenuhnya kisah legenda ini. Zaman kanak-kanak mereka sendiri tidak pernah menyaksikan secara nyata kehidupan tokoh legenda ini secara realiti. Apa yang mereka ketahui mengenai longuyon adalah diperolehi melalui cerita-cerita ibu bapa yang juga tidak dapat dipastikan sama ada pernah menyaksikan kehidupan sebenar peribadi Longuyon atau sebaliknya.
Kononnya pada zaman dahulu seorang tokoh yang begitu luar biasa pernah hidup dalam lingkungan masyarakat di kampung Kiau iaitu Longuyon. Longuyon semasa hidupnya sering berulang alik dari kampung Kiau ke kampung Tomis menggunakan jalan raya buatan manusia yang menghubungkan antara kedua-dua kampung tadi. Jalan raya ini merupakan perhubungan utama antara orang-orang dari "sarayo" dan " Sawa" ke kampung ini sama ada berjalan kaki atau menggunakan kereta kuda. Jalan raya tersebut masih dapat dilihat kesannya sehingga hari ini. Longuyon dikatakan seorang lelaki yang mempunyai bentuk fizikal yang normal seperti orang lain kecuali ketinggiannya yang agak unik. Menurut cerita Longuyon mempunyai ketinggian yang luar biasa berbanding dengan orang-orang yang hidup pada zamannya. Tidak ada suatu fakta sebenar yang dapat diketahui mengenai ukuran ketinggiannya yang luar biasa itu. Bagaimana pun untuk menggambarkan bertapa tingginya Longuyon berbanding dengan orang lain, masyarakat zaman dahulu mempunyai alasan-alasan tertentu melalui aksi-aksi seharian Longuyon sebagai bukti.
Bagi Menggambarkan ketinggian sebenar longuyon terdapat kisah yang mengatakan bahawa pada zaman dahulu masyarakat kampung mengalami kesukaran untuk memanjat pokok kelapa yang tinggi untuk mengambil buahnya atau buah-buahan yang lain seperti langsat, terap dan sebagainya. Oleh yang demikian orang kampung meminta bantuan Longuyon untuk memetik buah tersebut dalam keadaan berdiri di atas tanah tanpa memanjat. Dalam situasi yang lain Longuyon dikatakan pernah membantu orang kampung menyeberang sungai kadamaian waktu hujan turun apabila banjir. Orang ramai tidak dapat menyeberang sungai kerana belum ada kemudahan jambatan tetapi dengan bentuk badannya yang luar biasa itu beliau merebahkan badannya sebagai ganti jambatan dengan kaki dan tangannya mencapai di kedua belah tebing sungai tersebut.
Dipercayai banyak lagi kisah menarik mengenai Longuyon semasa hidupnya di kampung ini, namun generasi masa kini tidak lagi mengetahui rentetan-rentetan peristiwa tersebut kerana mereka tidak lagi berminat meneroka cerita daripada nenek moyang. Kisah Hidup Longuyon berakhir apabila dia ditemui mati di tengah perjalanan oleh orang ramai. Adalah dipercayai bahawa kematian Longuyon disebabkan sumpitan oleh orang-orang Sarayo yang kebetulan pada masa itu merupakan musuh atau sangod kepada masyarakat kampung kiau. Racun daripada sumpitan orang sarayoi itu dikatakan terkena tepat dibahagian kemaluan Longuyon menyebabkan ia mati disitu. Menurut kebiasaan masyarakat zaman dahulu biasanya sesuatu mayat akan dikuburkan dikawasan berdekatan tempat ia ditemui mati. Dikatakan Longuyon telah dikuburkan di tempat tersebut dan kemudian tempat tersebut sehingga hari ini dinamakan Lumongui. Kesan tempat yang dikatakan kubur longuyon masih kelihatan namun agak kurang jelas kerana sebahagiannya telah dikorek untuk membesarkan jalan raya.
Setakat ni tidak ada seorang pun yang dapat mengesahkan secara tepat zaman kewujudan Longuyon walau pun para generasi tua kini mendakwa bahawa peribadi ini memang benar-benar wujud. Tidak ada sumber-sumber jelas dan sahih mengenai kisah peribadi yang agak luar biasa ini. Generasi tua yang ada sekarang ini pun tidak dapat memastikan sama ada Longuyon mempunyai saudara mara di kampung Kiau atau sebaliknya. Kisah Longuyon sangat menarik untuk dijadikan sebagai suatu kajian secara saintifik bagi mencari bukti-bukti yang sahih dan mengabadikan kisah menarik Longuyon ini dalam lipatan sejarah bukan saja di Kampung kiau tetapi juga di Sabah. ..... Aramai K....
No comments:
Post a Comment